Wednesday 3 September 2014

Tak sukar berpoligami di Yala


Daripada YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

YALA, Selatan Thailand - Pasangan rakyat Malaysia boleh bernikah, termasuk berpoligami di daerah ini tanpa perlu melalui pelbagai prosedur seperti turun naik mahkamah atau mendapatkan kebenaran isteri pertama.

Malah, Kadi Syarie Majlis Agama Islam Wilayah Yala, Ismail Hari mendedahkan, terdapat pasangan dari Malaysia yang sudah terlanjur dengan kandungan sudah mencecah usia tujuh bulan, datang ke daerah itu untuk bernikah selepas gagal berbuat demikian di negara asal disebabkan perlu mengikut prosedur ditetapkan.

Selain itu, katanya, terdapat juga pasangan muda yang tidak mendapat restu daripada ibu bapa mereka untuk melangsungkan perkahwinan, bernikah di situ, selain golongan selebriti dan orang kenamaan yang ingin menyembunyikan pernikahan mereka.

"Secara purata, sebulan sebanyak 20 pasangan dari Malaysia majoriti berusia 20 tahun ke atas bernikah di sini, termasuk yang hendak berpoligami.

"Di sini nak berpoligami tidak ada syarat, bebas. Latar belakang pasangan juga tidak ditanya dengan kebanyakan menggunakan wali hakim yang diberi tauliah oleh majlis," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada sekumpulan 34 rombongan dari Kelantan di kalangan pemimpin agama, pentadbir institusi pendidikan dan wartawan yang dalam rangka lawatan ke Thailand.

Lawatan itu atas jemputan Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Kota Bharu dalam usaha mengukuhkan hubungan antara masyarakat Islam di Thailand terutama di wilayah selatan, dengan Malaysia khususnya Kelantan. Kunjungan tersebut turut disertai oleh Konsul Jeneral, Surapon Petch-Vra.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertuanya, Ahmad Tuyong memberitahu, terdapat dua kaedah perkahwinan membabitkan warga asing iaitu bernikah di rumah atau di pejabat.

"Nak kahwin di rumah pun boleh tapi perlu surat kahwin dan surat pengesahan daripada pejabat agama," jelasnya.

Dalam pada itu, Surapon mencadangkan supaya Majlis-majlis Agama Islam di wilayah selatan Thailand mengadakan perbincangan atau pertemuan lebih kerap dengan Majlis Agama Islam di Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian berhubung masalah nikah kahwin membabitkan rakyat negara itu di sini. - Utusan

Sumber rujukan : Utusan Malaysia